Skip to main content

School of Electrical and Electronic Engineering

USM KETUAI KONSORTIUM MRI3, METERAI MOU BERSAMA 18 UA DAN 27 INDUSTRI

DSC 7885

PULAU PINANG, 14 Disember 2023 - Universiti Sains Malaysia (USM) hari ini telah memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bersama 18 UA Malaysia lain dan 27 syarikat industri termasuk rakan strategik agensi bagi menjadi perintis dalam pelaksanaan program MRI3.

USM berperanan selaku ketua Konsortium Elektrik dan Elektronik (E&E) Universiti Awam (UA) bagi pelaksanaan Inkubator Penyelidikan dan Serap-Industri Kementerian Pendidikan Tinggi (MOHE Research and Industry-Infused Incubation, MRI3) yang telah dilantik pada 1 November 2023 sewaktu Persidangan Pasaran Graduan 2023.

Program MRI3 diperkenalkan di USM bagi membangunkan bakat yang mempunyai pengetahuan dan kemahiran ‘sharp-skill’ dan ‘smart-skill’ yang bertepatan dengan keperluan industri E&E yang merangkumi bakat bermula daripada tahap ijazah pertama sehingga pasca-siswazah.

DSC 7776 DSC 7781

DSC 7791 DSC 7815

Program MRI3 ini bertujuan memastikan ‘Job Guarantee’ dalam Kebolehpasaran Graduan (Graduate Employability, GE) dengan menyediakan bakat berkemahiran tinggi yang bertepatan keperluan industri, dengan jaminan gaji premium minimum sebanyak RM4,000.

Melalui program ini, para pelajar akan menjalani latihan industri dan projek tahun akhir (FYP) berasaskan industri, yang mana pelajar akan dapat menggunakan peralatan dan perisian yang sama seperti yang digunakan oleh industri itu sendiri.

Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed hadir mewakili USM sebagai ketua konsortium EE Universiti Awam Malaysia dalam majlis tersebut.

Hadir bagi merasmikan majlis serta menyaksikan penandatanganan tersebut adalah Pengerusi Lembaga Gabenor USM, Dato’ Seri Dr. Awang Adek Hussin, yang mewakili Menteri Pendidikan Tinggi.

DSC 7824 DSC 7861

DSC 7875 DSC 7847

Awang Adek dalam ucapan perasmiannya berkata, kolaborasi dengan pihak industri adalah amat penting kepada para graduan, dan juga kalangan akademik, untuk memastikan intipati pengajaran dan penyelidikan adalah selari dengan keperluan industri sekarang dan masa depan.

“Bagi meningkatkan lagi penyediaan bakat negara untuk sektor industri E&E, penubuhan MRI3 menjadi langkah yang signifikan, kerana ia memberi tumpuan kepada penyediaan bakat yang lebih meluas yang merangkumi keseluruhan sektor di dalam sektor industri E&E,” katanya.

Tambahnya lagi, dalam mempertingkatkan daya saing Malaysia dalam sektor E&E dan mengekalkan modal insan yang mahir, Malaysia perlu kompetitif di dalam penawaran gaji berbanding dengan negara luar, yang mana sudah ramai graduan di Malaysia yang memilih untuk bekerja di negara jiran kerana gaji yang ditawarkan adalah lebih tinggi.

Sementara itu, Abdul Rahman dalam ucapannya berkata, program ini secara tidak langsung menyediakan bakat tersedia industri ataupun ‘industry-ready talent’ yang diperlukan oleh industri.

DSC 7885 DSC 7911

DSC 7920 DSC 7951

DSC 7966 DSC 7999

“Ia juga memenuhi keperluan bakat di industri yang melibatkan bakat dari universiti-universiti seluruh Malaysia yang diterajui oleh USM selaku ‘focal point’ konsortium industri E&E.

“Secara tidak langsung, MRI3 akan menjadi pemangkin kepada Malaysia untuk menjadi sebuah negara maju dan sebagai antara negara pengeluar utama dalam industri E&E dunia,” kata Abdul Rahman.

Harapan Abdul Rahman adalah agar MRI3 ini dapat menjadi salah satu program pembangunan bakat yang berjaya di peringkat nasional di dalam penghasilan bakat-bakat negara tersedia industri yang berpengetahuan dan berkemahiran tinggi, selari dengan strategi 4P yang telah digariskan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi.

Hadir sama pada majlis adalah wakil Pengarah Bahagian Hubungan Industri, Jabatan Pendidikan Tinggi, Kementerian Pendidikan Tinggi, Raymond Teoh Joo Han; Timbalan Naib Canselor Jaringan Industri dan Masyarakat, USM, Profesor Dr. Azlan Amran; Pengarah Pejabat Jaringan Industri USM, Profesor Madya Dr. Shaizatulaqma Kamalul Ariffin; naib-naib canselor dan wakil-wakil naib canselor universiti awam serta pegawai-pegawai tertinggi rakan strategik industri.

Teks: Nur Farrah Ezlin Mohd Suhaimi/ Foto: Muhammad Taufik Abd Rahman
Sumber: USM Kampus Kejuruteraan