Skip to main content

School of Electrical and Electronic Engineering

LAWATAN DARI POLITECHNIC TEMASEK

NIBONG TEBAL, 29 Mac 2017 – Pusat Pengajian Kejuruteraan Elektrik (PPKEE) Universiti Sains Malaysia (USM) menerima kunjungan akademik daripada Politeknik Temasek dari Singapura buat kali pertama di sini hari ini.

Lawatan kali kedua Politeknik Temasek ke USM dan kali pertama ke Kampus Kejuruteraan ini melibatkan penyertaan daripada para pelajar dan pensyarah yang terdiri daripada mereka yang terlibat dalam bidang kejuruteraan.

 

Timbalan Dekan Penyelidikan, Siswazah dan Penyelidikan PPKEE, Profesor Dr. Mohd Fadzil Ain berkata program lawatan ini adalah medium terbaik dalam menuju ke arah perhubungan dua hala yang terjalin antara USM dan Temasek Politeknik, Singapura.

“Lawatan ini juga secara langsung dapat mempromosikan USM kepada pelajar-pelajar yang terlibat dan seterusnya memberi gambaran yang lebih jelas kepada mereka akan suasana serta sistem pembelajaran yang dipraktikkan di sini,” tambah beliau.
Selain daripada sesi penerangan yang diketuai oleh Profesor Dr. Mohd Fadzil, pelajar dan pensyarah turut dibawa melawat ke makmal-makmal utama yang terdapat di PPKEE dalam memberi pendedahan secara lebih dekat akan peralatan dan teknologi-teknologi yang digunapakai di USM.

Sementara itu, menurut Pensyarah Iringan, Teo Kok Keong Politeknik, persekitaran pembelajaran di Kampus Kejuruteraan yang dilengkapi dengan peralatan-peralatan yang berteknologi tinggi jelas menunjukkan bahawa ianya adalah sebuah institut pengajian tinggi yang berada di kelasnya yang tersendiri.

Menurut pelajar, Fatyn Nadhirah Habibullah Marican, 18, tujuan beliau turut serta di dalam lawatan ini adalah untuk memperolehi pengalaman akan aktiviti pembelajaran yang dijalankan di institut-institut pengajian di luar Singapura.

“Ternyata pengalaman mengadakan lawatan ke USM hari ini telah membuka mata saya dan rakan-rakan dengan peralatan-peralatan berteknologi tinggi yang digunakan,” kata Pelajar tahun dua Kejuruteraan Komputer ini.

Bagi Shabana Banu Abdul Aziz, 19, pula, penerangan yang diberikan sepanjang lawatan adalah sangat bermanfaat kepada beliau dan rakan-rakan memandangkan teknologi-teknologi dan kursus yang sedang diikutinya adalah sangat berkaitan.

“Malah, dengan penerangan dan lawatan ini, saya berkemungkinan mempertimbangkan USM sebagai salah satu universiti yang akan dipilih untuk melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi kelak,” tambah Shabana.
Selain Teo Kok Keong dan 22 orang pelajar, turut menyertai rombongan adalah Kit Ai Hwa yang juga bertindak sebagai Pensyarah Iringan lawatan yang berakhir pada jam 4.30 petang ini.

Teks/Foto: Siti Faizah Abd Halim