Perkongsian Pengalaman oleh Lim Yuen Ruen



Terlebih dahulu, saya bersyukur kepada Tuhan atas peluang untuk menuntut ilmu pengajian di Universiti Sains Malaysia (USM). Sesungguhnya saya telah mempunyai banyak pengalaman yang tidak ternilai sepanjang tempoh pengajian saya di USM.


Saya masih ingat lagi sebuah pengalaman yang tidak dapat saya lupakan waktu kami masih lagi pelajar baru dibawah pusat pengajian kejuruteraan elektrik dan elektronik. Sejurus selepas memasuki universiti, Professor Dr. Mohd Rizal Bin Arshad pernah melontarkan satu cabaran terhadap kami semasa orientasi. Beliau bertanya, “Jikalau ada sesiapa dalam kelas ini yang ingin menjadi penerima Anugerah Pingat Emas Canselor, sila angkatkan tangan.” Beliau menegaskan bahawa tiada sesiapa akan menjadi penerima anugerah pingat emas secara tiba-tiba. Tiada sesiapa akan mencapai kejayaan tanpa keinginan. Kata-kata hikmat beliau terukir pada hati saya sejak hari itu.




Saya memasuki USM berbekalkan keputusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) yang sederhana. Demi menebuskan kekurangan saya, saya bertekad untuk berusaha setiap hari.  Pada awalnya saya tidak tahu apa yang dapat dicapai melalui usaha sebegini. Tetapi setelah setahun berusaha, saya mendapati bahawa penumbuhan akademik saya telah mencapai tahap yang lebih cemerlang. Daripada pengalaman ini, saya yakin bahawa usaha tekun yang berterusan akhirnya akan mendatangkan hasil juga.
Pengalaman biasa seseorang mahasiswa termasuklah menghadiri kuliah, membuat tugasan dan lain-lain lagi, samalah juga dengan saya sendiri, selalunya saya akan membincangkan tugasan dengan rakan-rakan. Saya berasa bersyukur kerana rakan-rakan USM saya mempunyai budaya saling kongsi pengalaman dan pengetahuan. Kami akan berbincang tentang assignment, projek, ataupun membelajari ilmu yang baru bersama-sama.

Selain daripada akademik, saya juga menyertai kelab robotik dan membantu dalam bengkel teknikal. Bankyak ilmu yang telah saya belajar dan ilmu tersebut dapat diaplikasikan dalam menyelesaikan masalah teknikal semasa membuat kerja kursus ataupun projek. Saya banyak menghabiskan masa dengan projek-projek yang saya minati dan menyertai pertandingan-pertandingan. Saya berasa puas hati apabila mempelajari ilmu dan membuat projek yang saya minati. Selain itu, saya juga berpeluang mengenali dan bekerjasama dengan orang lain yang mempunyai minat yang sama.

Terima kasih kepada semua rakan untuk segala memori tercipta yang menjadi pengalaman dan pembelajaran terindah bagi saya. Seikhlasnya saya ingin mengucapkan terima kasih dan penghargaan kepada semua profesor dan pensyarah, atas dedikasi perkhidmatan dan pengajaran beliau yang telah membawa saya sehingga ke hari ini. Kejayaan saya tidak akan menjadi kenyataan jika tidak oleh kerana jasa pengajaran dan panduan yang dicurahkan kepada saya sepanjang masa ini.
Juga tidak dilupakan semua yang telah bekerja di belakang tabir; pegawai penyelidik, pembantu makmal, pembantu jurutera, kakitangan pentadbiran dan semua kakitangan am Pusat Pengajian Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik, ribuan terima kasih diucapkan untuk semua perkhidmatan profesional anda kepada universititi dan warga USM, anda amat dihargai.

Sekali lagi, saya majukan ucapan terima kasih kepada semua yang telah memainkan peranan penting dalam menyumbang kepada pencapaian dan penamatan pengajian saya. Saya berharap bahawa saya akan sentiasa terus berhubung dengan anda dan USM pada masa hadapan.
Dengan ikhlas, terima kasih.