Skip to main content

School of Electrical and Electronic Engineering

MOA USM-ADVANTECH, WADAH PEMERKASAAN PROGRAM BERLANDASKAN KEPADA PENYELESAIAN PRAKTIKAL IOT DAN TEKNOLOGI PINTAR

MoA USM Advantech 1

PERAI, 24 Januari 2024 – Memorandum Perjanjian (MoA) yang ditandatangani oleh Universiti Sains Malaysia dan Advantech Co. Malaysia Sdn Bhd hari ini akan menjadi wadah kepada pemerkasaan program universiti berlandaskan kepada penyelesaian Internet of Things (IoT) dan teknologi pintar.

MoA yang ditandatangani oleh Naib Canselor USM, Profesor Dato' Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed dan Ketua Pusat Khidmat Pelanggan Advantech, Encik Elvin Ng ini akan menjadi sumber kepada ilmu pengetahuan dalam bidang berkaitan, seterusnya memberi manfaat kepada pelajar serta universiti secara bersama.

MoA USM Advantech 2

MoA USM Advantech 3

Malah, kerjasama yang akan berlangsung selama lima tahun ini adalah sejajar dengan matlamat USM dalam melahirkan graduan yang bukan sahaja mahir dari segi akademik tetapi juga bersedia dengan tuntutan kerja sebenar dunia industri, khususnya dalam sektor teknologi.

Ketika sidang media sejurus berlangsungnya sesi penantanganan tersebut, Rahman turut memaklumkan bahawa lima orang pelajar terpilih akan menjalani latihan industri di bawah MoA dan terus berkhidmat di bawah Advantech Co. Malaysia pada tahun akhir pengajian masing-masing.

MoA USM Advantech 4

MoA USM Advantech 5

“Pelajar berpeluang untuk menimba pengalaman sebenar dalam dunia industri, berbeza dari pembelajaran di dalam kelas sepanjang mereka di USM sebelum ini.

“Selain daripada sesi pembelajaran tersebut, pengalaman seperti inilah yang diperlukan oleh pelajar kami dan ianya hanya boleh dilaksanakan dengan kerjasama langsung daripada rakan industri seperti Advantech,” tambah beliau.

Dalam sesi yang sama, Elvin selaku wakil Advantech turut menyatakan bahawa kerjasama ini merupakan sebahagian daripada misi syarikat tersebut dalam usaha untuk mewujudkan masa depan dunia industri yang lebih baik.

MoA USM Advantech 6

MoA USM Advantech 7

“Keperluan dalam melahirkan pelajar masa hadapan yang berpengalaman serta kurangnya bakat sedia ada di dalam pasaran membawa kepada berlangsungnya kerjasama antara kedua-dua pihak hari ini.

“Pemilihan USM sebagai rakan kerjasama juga adalah seiring dengan objektif dalam menjadikan Malaysia sebagai hab pembuatan global utama untuk industri Elektrik dan Elektronik di Asia Tenggara, seterusnya mengurangkan kebergantungan kita kepada tenaga mahir dari luar negara,” kata Elvin.

Beberapa inisiatif turut dirancang melalui MoA ini untuk memupuk tenaga kerja mahir dalam sektor teknologi ASEAN, termasuklah melalui usaha sama inkubator teknologi, pembangunan kurikulum, dan projek penyelidikan khusus industri dalam meningkatkan kemahiran sektor teknologi.

MoA USM Advantech 8

MoA USM Advantech 9

Antara program yang telah dijalankan antara USM dan Advantech setakat ini adalah seperti projek penyelidikan kolaboratif, latihan amali dan bengkel yang membawa cabaran dunia sebenar ke dalam persekitaran akademik.

Turut hadir adalah Pengarah Kampus Kejuruteraan USM, Profesor Datin Dr. Azlina Harun@Kamaruddin>, Pengarah Urusan Asia and Intercontinental Region (AInterCon), Encik Vincent Chang, Dekan Pusat Pengajian Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik USM, Profesor Ir. Ts. Dr. Shahrel Azmin Sundi@Suandi>, Pengarah Pejabat Jariangan Industri USM, Profesor Madya Dr. Shaizatul Aqma, Pengarah Pusat Usahasama Kecemerlangan Rekabentuk Mikroelektronik USM, Profesor Madya Dr. Asrulnizam Abd Manaf dan Pengurus Besar Advantech Co Malaysia Sdn Bhd, Encik Ivan Kong.

Teks: Siti Faizah Abd Halim/Foto: Muhammad Taufik Abdul Rahman
Sumber: USM Kampus Kejuruteraan