PPKEE-LATTICE SEMICONDUCTOR JALIN KERJASAMA, BANGUN BAKAT PELAJAR DALAM TEKNOLOGI SISTEM TERBENAM
NIBONG TEBAL, 5 OGOS 2024 - Pusat Pengajian Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (PPKEE) Universiti Sains Malaysia (USM) hari ini mendantangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Lattice Semiconductor Sdn. Bhd hari ini dalam membangunkan bakat pelajar dalam mempelajari Teknologi Sistem Terbenam (Embedded Technology System).
“Ianya bertujuan untuk memperkasakan pelajar dengan nilai dan kemahiran tinggi melalui Industry-Infused Program (IIP) seperti latihan amali dan Projek Tahun Akhir (FYP) berbayar,” kata Pengarah Kampus Kejuruteraan, Profesor Datin Dr. Azlina Harun @ Kamaruddin.
“Selaras dengan Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030, kerjasama antara USM dengan Lattice Semiconductor akan membawa kepada penciptaan sistem terbenam yang lebih cekap tenaga sambil menjadi penyelesaian kepada FPGA,” tambahnya lagi.
Menurut Azlina, teknologi ini akan meningkatkan kecekapan perindustrian dambil mengurangkan penggunaan tenaga dan kesan alam sekitar sekaligus menyokong matlamat kemampanan NIMP2030.
“Kerjasama ini juga akan menjadi penanda aras dalam usaha kita untuk mencapai kecemerlangan akademik, perkongsian ilmu, dan penyelidikan lanjutan demi manfaat bersama,” kata beliau.
“Apatah lagi dengan status Lattice Conductor Sdn. Bhd. sebagai peneraju Low Power Programmable Technology dunia yang telah menyelesaikan pelbagai masalah pelanggan rentas rangkaian pada ketika ini,” tambah Azlina.
Sementara itu, Ketua Tapak dan Pengarah Pengurusan Program Lattice Semiconductor Sdn. Bhd., Encik Friiscor Ho berharap agar kerjasama yang berlangsung akan membina peluang bekerjasama dalam memajukan bidang penyelidikan dan kemahiran.
“Ia sekaligus akan mewujudkan hubungan dua hala yang akan memberi manfaat, bukan sahaja kepada Lattice Semiconductor Sdn. Bhd, tetapi juga kepada landskap perindustrian untuk generasi masa hadapan,” kata beliau.
“Malah, kemudahan penyelidikan dan pendidikan yang canggih di USM, akan menyokong usahasama yang dijalankan untuk kita sama-sama mencapai kecemerlangan dalam rangkaian industri selepas ini,” tambah Friiscor.
Teks: Siti Faizah Abd Halim & Nurul Athirah Mohd Faizal (Pelajar Latihan Industri) / Foto: Muhammad Taufik Abdul Rahman