Skip to main content

School of Electrical and Electronic Engineering

USM DAN WATLOW ELEKTRIK SDN. BHD. METERAI KERJASAMA PENYELIDIKAN BERNILAI RM68,000

DSC05479

NIBONG TEBAL, 2 November 2026 - Universiti Sains Malaysia (USM) menerusi Pusat Pengajian Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (PPKEE) memeterai Perjanjian Kerjasama Penyelidikan (RCA) dengan Watlow Electric Malaysia Sdn. Bhd. bagi memperkukuh hubungan strategik antara universiti dan industri melalui penyelidikan, inovasi serta pembangunan bakat dalam bidang kejuruteraan.

Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Inovasi) PPKEE, Profesor Madya Dr. Muhammad Nasiruddin Mahyuddin yang menyampaikan ucapan bagi pihak Naib Canselor berkata, kerjasama tersebut penting dalam merapatkan jurang antara pembelajaran teori dan aplikasi sebenar dalam industri, khususnya dalam bidang automasi, robotik, sistem pintar dan pembuatan pintar.

Beliau berkata, menerusi perjanjian itu, kedua-dua pihak bersetuju menyediakan geran penyelidikan padanan berjumlah RM68,000 di samping menawarkan penempatan latihan industri kepada pelajar PPKEE.
Menurutnya, kerjasama tersebut turut membuka peluang kepada pelajar memperoleh pengalaman industri serta meningkatkan kemahiran kejuruteraan praktikal, manakala pensyarah dan penyelidik berpeluang melaksanakan penyelidikan berasaskan keperluan industri serta menangani cabaran kejuruteraan sebenar.

DSC00695  DSC00713

DSC05449  DSC05463

Selain itu, kerjasama berkenaan berpotensi diperluas kepada pelbagai aktiviti akademik dan pembangunan profesional, termasuk pengajaran dan pembelajaran makmal, projek tahun akhir prasiswazah, projek reka bentuk capstone, penyelidikan pascasiswazah, bengkel teknikal serta program latihan profesional.

Sementara itu, Pengarah Operasi Watlow Electric Malaysia Sdn. Bhd., Wong Chor Ruey berkata, perjanjian berkenaan merupakan satu langkah penting dalam memperkukuh hubungan strategik antara kedua-dua pihak, khususnya dalam bidang pembangunan teknikal, penyelidikan dan inovasi.

Menurut beliau, kerjasama tersebut membolehkan USM memanfaatkan kepakaran serta pengalaman industri Watlow sebagai syarikat teknologi yang menyediakan penyelesaian terma kepada pelbagai sektor, termasuk industri semikonduktor dan pengeluar peralatan modal.

Beliau berkata, kerjasama itu juga mencerminkan perkembangan positif hubungan antara kedua-dua pihak sejak pembukaan rasmi operasi Watlow Electric Malaysia di Bandar Cassia pada Februari 2025.

DSC05481  DSC05488

DSC05507  DSC05509

DSC05497

Wong yang juga alumni USM berharap kerjasama sulung antara kedua-dua organisasi itu dapat memberi manfaat bersama, khususnya melalui penyediaan peluang pendedahan industri secara praktikal kepada pelajar dan penyelidik universiti dalam bidang penyelesaian terma.

“Kerjasama ini diharapkan dapat menjadi asas kepada perkongsian jangka panjang yang lebih meluas antara USM dan Watlow pada masa hadapan,” katanya.

Teks: Nor Hidayati Zolkornain (Pelajar Latihan Industri)/Foto: Sharina Mustapa Albakari

Sumber: USM KKTSS