PPKEE sertai Karnival Sains Matrikulasi (MASCAR) 2019
Kepala Batas, 27 Julai 2019 - Buat julung kalinya, Kolej Matrikulasi Pulau Pinang telah berjaya menganjurkan Karnival Sains Matrikulasi (MASCAR) peringkat Kebangsaan yang telah melibatkan kolej-kolej Matrikulasi seluruh Malaysia, Kolej Mara, agensi dan kementerian luar, sekolah rendah dan sekolah menengah dari Kedah, Perak dan Pulau Pinang. Pelbagai aktiviti pameran dan pertandingan yang telah diadakan seperti roket air, drone, robotik, inovasi tenaga biojisim, kipas angin eko, pembedahan Dr Wannabe, pameran planetarium, mini Zoo, mini Jurassic Park The Top dan sebagainya bagi menarik pengunjung dan pelawat ke karnival ini.
Pengarah Bahagian Matrikulasi, Kementerian Pendidikan Malaysia, Pn. Hjh. Rosnarizah Abdul Halim, diiringi oleh Pengarah-pengarah dan Timbalan Pengarah Kolej-kolej Matrikulasi, serta Pegawai-pegawai dari Bahagian Matrikulasi turut hadir bagi memberikan sokongan kepada program ini. Semua Tetamu Kehormat ini telah dibawa melawat ke tapak-tapak pameran seperti kelab Alchemy, roket air, agensi luar, inovasi KIK dan biojisim. Acara kemuncak adalah Majlis Perasmian Penutupan MASCAR 2019 yang telah disempurnakan oleh Pengarah Bahagian Matrikulasi, Pn. Hjh. Rosnarizah Abdul Halim.
Kampus Kejuruteraan USM Sertai Pameran MASCAR 2019
Pusat Pengajian Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (PPKEE) turut menyertai karnival ini bagi mempromosikan pusat pengajian kepada pelajar. Matlamat utama ialah menyampaikan maklumat dan gambaran yang jelas berkaitan program yang ditawarkan serta prospek kerjaya kepada pelajar. Ini bagi memudahkan pelajar mengenal pasti minat serta bidang yang akan diceburi kelak.
Selain PPKEE, pusat pengajian lain dari Kampus Kejuruteraan USM iaitu PPK Mekanik, PPK Aeroangkasa, PPK Awam, PPK Kimia dan PPK Bahan dan Sumber Mineral juga turut serta. Antara aktiviti yang disediakan ialah pameran serta demonstrasi produk dan penyelidikan yang dihasilkan oleh pensyarah dan pelajar.
Teks & Foto: En. Jamaludin Che Amat