Skip to main content

School of Electrical and Electronic Engineering

USM Cipta Terowong Penyah-virus Automatik

Nibong Tebal, 5 April 2020 - Sekumpulan penyelidik dari Pusat Pengajian Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (PPKEE) Universiti Sains Malaysia (USM) di Transkrian, di sini, berjaya menghasilkan Terowong Penyah-virus Automatik berkos rendah, untuk kegunaan komuniti universiti itu dalam membendung penularan COVID-19.

Dekan PPKEE merangkap Ketua Projek, Profesor Ir. Dr. Mohd Fadzil Ain berkata, pasukannya terpanggil untuk menghasilkan alat berkenaan, selepas menerima permintaan daripada barisan hadapan kesihatan USM di Pusat Sejahtera.

Terowong Penyah virus 01

"Sebenarnya terowong itu dihasilkan bagi membantu memberikan perlindungan kepada warga universiti, khususnya barisan hadapan seperti di Pusat Kesejahteraan dan Jabatan keselamatan, yang terdedah kepada risiko jangkitan virus COVID-19.

"Untuk sistem ini kita akan ada pengesan suhu tanpa sentuh, di mana petugas kesihatan berada pada jarak jauh dan pesakit akan ambil data suhu secara kendiri tanpa perlu petugas kesihatan datang dekat.

 
Terowong Penyah virus 02 
Selain beliau, turut terlibat dalam pasukan pembuatan terowong berkenaan ialah Profesor Madya Dr Muhammad Nasiruddin Mahyuddin, Dr Wan Amir Fuad Wajdi Othman, Suardi Kaharuddin, Shahidan Shafie dan Mohd Hisham Mamat Yusuf.

Mohd Fadzil berkata, dengan kepakaran bidang elektronik yang ada di PPKEE, terowong berkenaan direka bentuk lengkap dengan pengesan sonar, bagi membolehkan ia mengesan objek yang melaluinya.

Produk yang pertama kali dihasilkan itu, menggunakan segala sumber dan komponen yang ada di PPKEE, memandangkan kesukaran mendapatkan bahan pembuatan, ekoran kebanyakan kedai perkakasan ditutup dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sekarang ini, katanya.

Terowong Penyah virus 03

Beliau berkata prototaip produk itu adalah untuk diletakkan di pusat kesihatan USM iaitu Pusat Sejahtera dan kawasan universiti, yang pada jangkaannya akan menerima kemasukan pelajar sebaik tempoh PKP ditamatkan.

"Selain itu, ia juga sesuai untuk ditempatkan di lokasi lain yang berisiko, termasuk hospital, klinik-klinik kesihatan, balai polis dan jabatan kerajaan yang lain. Setakat ini hanya satu prototaip akan dipasang di Pusat Sejahtera USM, untuk kegunaan warga universiti," katanya.

Beliau berkata, kos bagi setiap terowong itu kira-kira RM1,500 dan ia boleh dibuat dalam skala yang besar serta cepat, memandangkan bahan yang digunakan boleh didapati di kedai-kedai perkakasan setempat. - BERNAMA

Sumber berita: www.bernama.com, www.astroawani.com, www.nst.com.my