Skip to main content

School of Electrical and Electronic Engineering

|PROGRAM STEM: USM-MICRON YOUNG WISE (WOMEN IN SCIENCE AND ENGINEERING), 13 MEI 2023, DEWAN UTAMA, UNIVERSITI SAINS MALAYSIA KAMPUS KEJURUTERAAN|

2023 0513 Group Photo USM Micron Young WISE With VC

Program yang berlangsung selama sehari pada 13 Mei 2023 di Dewan Utama, Kampus Kejuruteraan, USM ini merupakan kesinambungan kepada program yang telah dianjurkan secara dalam talian pada tahun 2021 dan 2022 iaitu semasa pandemik Covid 19. Program ini dianjurkan oleh Pusat Pengajian Kejuruteraan Elektrik dan Elektrik (PPKEE), Universiti Sains Malaysia (USM) dengan tajaan dan kerjasama dari pihak industri iaitu Micron Memory Malaysia Sdn. Bhd. Ia melibatkan seramai 100 orang pelajar perempuan Tingkatan 1, 2 dan 3 dan guru-guru pengiring dari 20 buah sekolah menengah sekitar Pulau Pinang, Perak, Kedah dan Perlis.

Objektif program ini adalah untuk meningkatkan kefahaman, minat dan skil teknikal pelajar terutamanya untuk memperkasakan pelajar perempuan dalam bidang Sains, Teknologi dan Kejuruteraan. Para pelajar diberi peluang untuk mengaplikasikan pengetahuan teori yang dipelajari dalam subjek Rekabentuk Teknologi (RBT) dan Asas Sains Komputer melalui sesi ‘hands-on’ pengaturcaraan Arduino, Drone dan Robot Mobile. Program yang diketuai oleh Prof. Madya Dr Zuraini Dahari turut mendapat jalinan kerjasama dengan Collaborative Microelectronic Design Excellence Centre (CEDEC), USM, Institute of Electrical and Electronics Engineers (IEEE), Women in Engineering (WIE), Students’ Society of Electrical and Electronic Engineering (SEE) dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). Projek ini turut mendapat sokongan padu dari pihak pentadbiran, pegawai penyelidik, staf teknikal serta siswa-siswi PPKEE.

Program ini dirasmikan oleh Prof. Dr Azlina Azman, Timbalan Naib Canselor (TNC) Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni, (BHEPA), USM. Turut hadir ialah Prof. Ir. Ts. Dr. Sharel Azmin Sundi @Suandi, Dekan PPKEE USM, En Mohd Zamri Shah Mastor, Ketua Penolong Pengarah Kanan, Planetarium Negara, wakil Micron – Eusgasini Subramaniam, Pengarah Operasi TSE SIG, Micron Memory Malaysia Sdn. Bhd. merangkap Naib Presiden Global Society of Women Engineers. Turut bersama meluangkan masa dan bermesra dengan para peserta pada cabaran pertandingan sedang berlangsung iaitu pertandingan Dron dan Robot Mobile adalah Naib Canselor USM, Professor Dato' Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed.

Majlis penyampaian hadiah disempurnakan oleh Alex Goon Beng Tat, Senior Manager, Malaysia University Relations, Micron Memory Malaysia Sdn Bhd dengan diringi oleh Pengarah CEDEC, Prof. Madya Dr. Asrulnizam Abd Manaf dan Timbalan PPD (Sektor Pembelajaran), Pejabat Pendidikan Daerah Seberang Perai Selatan, Encik Md Radzi Abdullah.