Skip to main content

School of Electrical and Electronic Engineering

USM DAN JINKO SOLAR METERAI PERSEFAHAMAN, BANGUNKAN BAKAT BIDANG TENAGA BOLEH DIPERBAHARUI

2024 0103 Group Photo MoU Ceremony Between USM Jinko Solar copy

USM PULAU PINANG, 3 Januari 2024 – Universiti Sains Malaysia (USM) dan Jinko Solar Technology Sdn. Bhd. telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi usaha pembangunan bakat dalam bidang tenaga boleh diperbaharui (renewable energy).

Pemeteraian persefahaman ini akan memberi tumpuan kepada memperkasakan pelajar USM untuk bakat berkemahiran tinggi yang menepati permintaan industri melalui mekanisme program serap-industri (industry-infused).

Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed berkata kerjasama USM-Jinko Solar akan memberi kelebihan buat pelajar USM dalam penguasaan aspek industri yang lebih realistik dalam bidang berkenaan melalui latihan praktikal (atau internship), projek tahun akhir dengan tajaan biasiswa atau sokongan pembiayaan.

WhatsApp Image 2024 01 03 at 4.30.20 PM  WhatsApp Image 2024 01 03 at 4.30.20 PM 1

“Saya berharap kerjasama serap-industri di bawah kelolaan Pusat Pengajian Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik USM ini dapat menghasilkan pelbagai projek penyelidikan kolaboratif yang akan memberi manfaat kepada kedua-dua pihak dan seterusnya buat negara secara keseluruhannya,” kata beliau di Majlis Penandatanganan MoU kedua-dua pihak yang diadakan di Bilik Persidangan Canselori (CCR), USM.

Pada pertemuan tersebut, Abdul Rahman turut menyentuh perkara berkaitan penggunaan Photovolta (atau PV) sebagai tenaga boleh diperbaharui adalah selari dengan fokus USM sebagai universiti yang menerajui segala aspek kelestarian.

“Sudah pasti ia juga selaras dengan Pelan Induk Perindustrian Baharu Malaysia 2030 (NIMP 2030), untuk menyahkarbon sektor pembuatan bagi mencapai pelepasan karbon sifar menjelang 2050 di negara ini,” jelas Abdul Rahman lagi.

Beliau turut berharap kolaborasi USM dan Jinko Solar akan mengintegrasi nilai-nilai kelestarian dalam usaha penyelidikan dan pendidikan melalui program yang relevan industri.

DSC08778  DSC08779

Di majlis yang sama, Timbalan Pengurus Besar, Jinko Solar Technology Sdn. Bhd. Lee Swee Lim berkata pihaknya sentiasa komited untuk bersama-sama USM bagi mewujudkan kerjasama strategik, membangun dan menyokong program penyelidikan untuk manfaat kedua-dua pihak.

“Kerjasama USM-JINKO Solar sudah pasti memberi impak positif dalam pembangunan penyelidikan industri tenaga boleh diperbaharui sekaligus dapat melahirkan bakat-bakat baharu negara yang pakar dalam bidang berkaitan dan mampu meningkatkan keupayaan bidang ini ke tahap yang disasarkan,” kata beliau lagi.

Beliau turut berharap dengan kepakaran yang dimiliki kedua-dua pihak ini ia sekaligus dapat membuahkan hasil yang relevan kepada industri dan pendidikan tinggi negara.

Yang turut hadir ke majlis tersebut adalah Pengarah Kampus Kejuruteraan USM, Profesor Datin Dr. Azlina Harun@Kamarudin>;; Penolong Pengurus Sumber Manusia, Jinko Solar Technology Sdn. Bhd., Huang Dandan; Dekan, Pusat Pengajian Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik USM, Prof. Ir. Ts. Dr. Shahrel Azmin Sundi @ Suandi; barisan EXCO Pusat Pengajian Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik USM,  dan para pegawai utama Jinko Solar Technology Sdn. Bhd.

Teks: Mohd Azrul Mohd Azhar/Foto: Mohd Fairus Md Isa
Sumber: USM Kampus Kejuruteraan