Program STEM: Pemerkasaan Pengetahuan dan Kemahiran Teknikal dalam Matapelajaran Reka Bentuk dan Teknologi (RBT) di kalangan Murid-murid Sekolah Menengah Rendah (STEM Program: Empowerment of Knowledge and Technical Skills in Rekabentuk Teknologi (RBT) Sub
Program kolaborasi dalam pelaksanaan Program Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) di antara Pusat Pengajian Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (PPKEE), Kampus Kejuruteraan, Universiti Sains Malaysia telah berjaya dilaksanakan dengan rakan kerjasama komuniti iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan Saujana Indah (SMKSI), Nibong Tebal, Pulau Pinang pada Jun 2023- Mei 2024. Program ini merupakan Projek Libatsama Universiti-Komuniti di bawah geran Bahagian Jaringan Industri, Masyarakat & Kelestarian Institusi (BJIM) Universiti Sains Malaysia yang bertajuk STEM Program: Empowerment of Knowledge and Technical Skills in Design and Technology (Rekabentuk Teknologi - RBT) Subject among Lower Secondary School Students. Program ini diterajui oleh Pengarah Program, Prof Madya Dr Zuraini Dahari dan dibantu oleh Encik Mohamad Nazir Abdullah, Dr. Intan Sorfina Zainal Abidin, Dr Muhammad Najwan Hamidi, Puan Roslina Hussin dan sekumpulan mahasiswa PPKEE sebagai fasilitator program.
Objektif program ini ialah untuk meningkatkan pemahaman, penglibatan dan prestasi murid-murid dalam mata pelajaran RBT terutamanya topik berkaitan Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik. Di samping itu, tujuan program ialah untuk mewujudkan persekitaran pembelajaran yang menyokong pendidikan RBT dan membantu pihak sekolah dengan berkongsi kepakaran universiti dalam pengetahuan teori, pengalaman praktikal dan kemahiran teknikal.
Projek berjalan dalam empat fasa iaitu Pengenalan Teori Elektrik dan Elektronik, Bengkel 1 - Pengenalan Asas kepada Arduino, Bengkel 2 - Aplikasi Arduino dan IoT (Internet of Things) dan akhirnya Projek Berkumpulan. Program ini melibatkan seramai 70 orang murid-murid Tingkatan 2 dan 3 dengan dibimbing oleh 4 orang guru penasihat dari SMK Saujana Indah, Nibong Tebal iaitu, Pn Siti Nor Aishah Binti Abdullah, Pn Rogayah Binti Hj Mohamed, Pn Norzatashima Binti Hashim dan Pn Siti Nurikhyar Binti Dee.
Untuk proses penilaian program ini, fasa pembentangan projek berkumpulan sebanyak 10 kumpulan telah dilaksanakan sebagai penutup program. Murid-murid diminta menyiapkan satu projek prototaip dan membentangkan hasil projek tersebut kepada panel enilai yang terdiri dari sekumpulan pensyarah USM pada akhir April 2024. Lima kumpulan terbaik telah dipilih untuk kategori “Best Project Awards” beserta sijil.
Sebagai insentif dan pembelajaran jangka Panjang kepada SMK Saujana Indah, sebanyak sepuluh unit Arduino Kit diserahkan kepada pihak sekolah SMK Saujana Indah sebagai salah satu insentif dan galakan kepada murid-murid untuk mengembangkan pengetahuan dan aplikasi pengaturcaraan Arduino.
Berdasarkan testimoni dari wakil guru, Pn Siti Aishah dan juga hasil soal selidik kepada murid-murid, program ini berjaya meningkatkan minat murid-murid dalam bidang STEM khususnya bidang elektrik dan elektronik. Ia juga dapat melatih mereka untuk mampu berfikir secara kritis dan meningkatkan pengetahuan teori dan kemahiran praktikal mereka.