Pusat Pengajian Kejuruteraan Elektrik & Elektronik (PPKEE) USM Terima Sumbangan Peralatan Makmal daripada Zeroplus Technology Co., Ltd., Taiwan

Nibong Tebal, 10 Februari 2025 – Pusat Pengajian Kejuruteraan Elektrik & Elektronik (PPKEE), Universiti Sains Malaysia (USM) telah menerima sumbangan peralatan pendidikan daripada Zeroplus Technology Co., Ltd., Taiwan dalam satu majlis penerimaan sumbangan yang telah diadakan pada 10 Februari 2025.
Sumbangan tersebut melibatkan 40 unit LAP-Educator Logic Analyzer, dengan nilai keseluruhan dianggarkan sebanyak RM40,000. Peralatan ini akan dimanfaatkan secara langsung dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran, khususnya bagi kursus Microprocessor 1 dan Digital 2, yang memerlukan pemahaman mendalam terhadap analisis isyarat digital dan sistem berasaskan mikropemproses.

Penggunaan LAP-Educator Logic Analyzer dijangka dapat memperkukuh pengalaman pembelajaran secara hands-on dalam kalangan pelajar, sejajar dengan keperluan industri semasa serta pendekatan pembelajaran berasaskan amali dan projek. Sumbangan ini juga menyokong usaha PPKEE USM dalam mempertingkatkan kemudahan makmal dan kualiti pengajaran bagi program kejuruteraan elektrik dan elektronik.
Pihak Pusat Pengajian Kejuruteraan Elektrik & Elektronik, USM merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Zeroplus Technology Co., Ltd. atas keprihatinan serta sokongan berterusan terhadap pembangunan pendidikan tinggi dan pengukuhan kerjasama industri–akademia.
Diharapkan sumbangan ini akan menjadi pemangkin kepada hubungan kerjasama yang lebih erat antara USM dan Zeroplus Technology Co., Ltd. pada masa hadapan, khususnya dalam bidang latihan, penyelidikan dan pembangunan teknologi.
