Skip to main content

School of Electrical and Electronic Engineering

PERTANDINGAN DRONE SOCCER DAN ROBOTIK 2026, PIALA PENGERUSI MAJLIS PEMBANGUNAN BUMIPUTRA PULAU PINANG

USM KAMPUS KEJURUTERAAN TUANKU SYED SIRAJUDDIN, NIBONG TEBAL (30 SEPTEMBER 2026) – Pertandingan Drone Soccer dan Robotik 2026, Piala Pengerusi Majlis Pembangunan Bumiputra Pulau Pinang (MPBPP), telah berlangsung dengan jayanya di Dewan Serba Guna, USM Kampus Kejuruteraan Tuanku Syed Sirajuddin, Nibong Tebal, Pulau Pinang.

Pertandingan ini merupakan acara kemuncak kepada Program Rintis Drone Soccer dan STEM Robotik yang telah dilaksanakan sebelum ini. Penganjuran pertandingan tersebut berjaya menghimpunkan seramai 80 orang pelajar dan 15 orang guru pembimbing daripada sekolah serta Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) sekitar Pulau Pinang, melibatkan tiga kawasan Parlimen iaitu Nibong Tebal, Balik Pulau dan Permatang Pauh.

Program ini merupakan hasil kerjasama strategik antara Majlis Pembangunan Bumiputra Pulau Pinang (MPBPP) dengan Pusat Pengajian Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (PPKEE) serta Collaborative Microelectronic Design Excellence Centre (CEDEC), Universiti Sains Malaysia (USM). Kerjasama ini bertujuan memperkukuhkan pendedahan, pengetahuan dan minat pelajar terhadap bidang robotik, teknologi dron serta pendidikan berasaskan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

Pertandingan tersebut melibatkan enam buah sekolah menengah, enam buah sekolah rendah serta dua buah MRSM sebagai sekolah jemputan. Antara sekolah yang mengambil bahagian ialah SMK Batu Maung, SMK Seri Balik Pulau, SMK Bandar Baharu Perda, SMK Tun Hussein Onn, SMK Saujana Indah, SMK Seri Nibong, SK Mak Mandin, SK Pokok Sena, SK Bandar Baharu Perda, SK Bukit Minyak, SK Sungai Bakap Indah, SK Saujana Indah, MRSM Transkrian dan MRSM Tun Abdullah Ahmad Badawi, Kepala Batas.

Pertandingan dibahagikan kepada dua kategori utama, iaitu Drone Soccer yang disertai oleh pelajar sekolah menengah dan MRSM, manakala Robotik pula dikhususkan kepada pelajar sekolah rendah. Kedua-dua kategori memberikan peluang kepada peserta untuk mengaplikasikan pengetahuan dan kemahiran yang telah diperoleh sepanjang program latihan terdahulu dalam suasana pertandingan yang kompetitif dan menyeronokkan. Bagi Kategori Drone Soccer, SMK Bandar Baharu Perda muncul sebagai Johan, diikuti SMK Seri Balik Pulau sebagai Naib Johan, manakala SMK Seri Nibong memperoleh Tempat Ketiga. Sementara itu, bagi Kategori Robotik, SK Bandar Baharu Perda dinobatkan sebagai Johan, SK Pokok Sena sebagai Naib Johan, manakala SK Bakap Indah memperoleh Tempat Ketiga.

Para pemenang membawa pulang hadiah berupa wang tunai, piala, pingat dan sijil penyertaan. Pihak penganjur turut menyediakan hadiah saguhati berupa piala, cenderahati dan sijil sebagai penghargaan kepada sekolah serta peserta lain yang telah memberikan komitmen dan semangat persaingan yang tinggi sepanjang pertandingan berlangsung.

Majlis tersebut telah dirasmikan oleh YBhg. Tan Sri Khalid bin Ramli, Pengerusi Majlis Pembangunan Bumiputra Pulau Pinang. Turut hadir ialah YBhg. Dr. Hj. Shaharudin Shah bin Mohd Noor, Pengarah Bahagian Penyelarasan Penyertaan Bumiputra, Pulau Pinang. Majlis turut diserikan dengan kehadiran Pengarah Kampus Kejuruteraan Tuanku Syed Sirajuddin, Profesor Ir. Dr. Mariatti binti Jaafar@Mustapha; Dekan Pusat Pengajian Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik, Profesor Ir. Ts. Dr. Shahrel Azmin Sundi@Suandi; Pengarah CEDEC USM, Profesor Dr. Asrulnizam bin Abd Manaf; serta wakil industri, Malaysia Drone Soccer, En Mohd Noor Murtadha bin Alias dan Cytron Technologies Malaysia, En. Andrian Teo.

Pertandingan diakhiri dengan majlis penyampaian hadiah, pingat dan sijil yang disempurnakan oleh YBhg. Tan Sri Khalid bin Ramli sebagai tanda penghargaan kepada para pemenang, peserta, guru pembimbing serta semua pihak yang telah memberikan kerjasama dan sokongan dalam menjayakan program tersebut.

Penganjuran program ini memberi peluang kepada para pelajar untuk mengenali dan meneroka teknologi dron dan robotik melalui pendekatan pembelajaran yang interaktif, menyeronokkan dan berasaskan pengalaman praktikal. Program ini turut menekankan penerapan pengetahuan, kemahiran teknikal dan pemikiran kreatif melalui aktiviti pemasangan, pengaturcaraan, penyelesaian masalah serta pengendalian teknologi secara langsung.

Secara keseluruhannya, Pertandingan Drone Soccer dan Robotik 2026 bukan sahaja menjadi platform untuk menguji pengetahuan dan kemahiran peserta, malah berperanan dalam memupuk budaya inovasi, meningkatkan minat terhadap teknologi, membina semangat kerja berpasukan serta menggalakkan persaingan sihat dalam kalangan generasi muda.

DSC 4175  DSC 4183

DSC 4247  DSC 4278

DSC 4269  DSC 4279

DSC 4285  DSC00149

DSC 4356  DSC 4306

DSC 4376  DSC 4384

DSC 4392

DSC 4412  DSC 4419

DSC 4429

DSC 4442  DSC 4322

DSC 4457