SEEE ENGINEERING DESIGN 2018

 

Rabu, 5/12/2018: Pusat Pengajian Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (PPKEE), USM pada hari ini telah memecah tradisi kursus rekabentuk Capstone dengan menganjurkan acara Pameran Rekabentuk Kejuruteraan 2018.  Acara “SEEE Engineering Design Exhibition 2018” yang julung-julung kali diadakan ini telah dirasmikan oleh Profesor Ir. Dr. Nor Ashidi Mat Isa, Timbalan Dekan Akademik, PPKEE, di Dewan Serbaguna Kampus Kejuruteraan, USM dengan bertemakan “Solving Local Industries and Business Problems”. Sambutan yang amat menggalakkan dihadiri oleh pengunjung daripada syarikat perniagaan, industri, organisasi profesional, institusi pendidikan dan masyarakat sekitar telah memenuhi dewan bagi menyaksikan demonstrasi 32 buah prototaip yang dipersembahkan oleh 32 kumpulan capstone yang melibatkan lebih 140 orang pelajar tahun akhir.

Kumpulan pelajar ini tidak menghampakan pengunjung dengan pelbagai prototaip yang  telah direka khas bukan sahaja untuk syarikat perniagaan sekitar seperti Mydin dan Farmasi Pekaka, malah untuk institusi pendidikan seperti Tadika Didik Kreatif dan juga industri berteknologi tinggi seperti Continental Automotive Components Sdn Bhd dan Pegasus Automation Sdn Bhd. Wakil dari organisasi-organisasi ini telah berganding bahu dengan pihak penaja daripada National Instruments, Keysight Technologies serta Institute of Engineers Malaysia (IEM) dan Institute of Technology, UK (IET) serta jabatan-jabatan kampus kejuruteraan USM seperti Jabatan Pembangunan dan Pusat Sejahtera dalam menilai dan mengadili projek-projek bagi mengenalpasti para pemenang bagi empat kategori pertandingan iaitu “Best Poster”, “Most Creative Design” dan “Most Impactful Design”.

Kehangatan pertandingan ini sudah tercetus lebih awal sebelum pameran dimulakan apabila pertandingan “Most Viral Video” turut diadakan dan persaingan antara kumpulan amat sengit sehingga ke saat-saat akhir. Selama seminggu, semua 32 kumpulan telah menularkan video projek mereka di dunia siber menerusi laman facebook kursus ini yang boleh dicapai di pautan https://www.facebook.com/groups/235359333804250/

Saingan awal telah menyaksikan Kumpulan #7 yang diselia oleh Dr. Mohd Ilyas Sobirin dengan projek mereka “IoT-based Fire and Gas Leakage Alert System “ telah mendahului bilangan “likes” daripada kumpulan-kumpulan lain tetapi diekori rapat oleh kumpulan #18 dibawah seliaan Dr Abdul Malik Haider dengan projek mereka “Smart Trolley”. Saingan antara kedua-dua prototaip yang direkabentuk khas untuk Syarikat Pasaraya Mydin ini telah menjadi semakin sengit pada hari terakhir apabila pendahulu awal telah dipintas kurang dari 10 jam sebelum masa tamat dengan kelebihan 200 ratus ‘likes’, 1400 ‘likes’ untuk kumpulan #18 berbanding 1200 likes untuk kumpulan #7. Namun semangat persaingan antara mereka membolehkan kedua-dua kumpulan ini bertukar-tukar posisi hadapan sekaligus melonjak bilangan peminat dari warga siber sehingga mencecah 1700 ‘Likes’ keseluruhan pada masa penamat. Oleh itu, penentuan pemenang terpaksa dilakukan secara ‘photo-finish’ dengan juri memperincikan pengiraan.

Kumpulan #7 akhirnya dinobatkan sebagai pemenang tipis mengatasi kumpulan #18 dengan perbezaan yang kurang daripada 10 ‘likes’. Kumpulan #7 meneruskan cabaran dengan harapan tinggi sedangkan kekecewaan besar menyelubungi Kumpulan #18 tatkala bermulanya 3 kategori pertandingan lain. Tanpa disedari, persembahan poster “Smart Trolley” telah mencuri hati para juri. Laungan kegembiraan yang menebus kekecewaan ahli kumpulan #18 telah memecah suasana dewan tatkala wakil Penyelaras kursus Capstone, Ir. Dr. Nor Asiah Muhamad, mengumumkan Kumpulan #18 sebagai pemenang “Best Poster Award” mengatasi cabaran sengit dari kumpulan #11 dan kumpulan #22. Namun, usaha kedua-dua kumpulan ini tidak diakhiri dengan kekecewaan tangan kosong.

Daya kreativiti Kumpulan #11 yang diselia oleh Profesor Madya Ir. Dr. Mohamad Kamarol dalam membangunkan  “Solar Energy Grass Cutter” telah dianugerahi dengan anugerah “Most Creative Design”, manakala potensi manafaat projek “Smart Pill Box” oleh Kumpulan #22 dibawah seliaan Dr Intan Sorfina dianggap boleh merentasi segenap lapisan masyarakat sehingga dianugerahkan dengan “Most Impactful Design”. Para pemenang menerima wang tunai RM200, sebuah Piala Pusingan, sebutir pingat dan sekeping sijil penghargaan, semuanya telah disampaikan oleh Prof Ir Dr Nor Ashidi Mat Isa. Walaupun 28 kumpulan lain kurang bernasib baik pada kali ini, setiap ahli kumpulan dianugerahkan sijil penyertaan bagi menghargai kejayaan mereka mengatasi pahit getir dalam menyudahkan projek rekabentuk kejuruteraan yang mencabar keupayaan mereka.

Setiap projek masih berpotensi untuk dipilih menyertai program Accelerator@USM yang bakal mengasuh ramai usahawan teknoprenur yang bakal menerajui status USM sebagai “Most Entrepreneurial University”.Tuntasnya, acara seumpama ini, dengan sokongan padu daripada segenap lapisan staf pusat pengajian dan pimpinan tertinggi universiti boleh mencungkil bakat pelajar sebagai bakal jurutera dan teknoprenur yang boleh menyalurkan manfaat sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) kepada masyarakat sejagat. Syabas diucapkan kepada warga PPKEE khasnya dan warga kampus kejuruteraan USM amnya yang telah menjadikan kewujudan warga pelajar dan staf di Nibong Tebal ini seumpama rangkaian permata yang menghiasi masyarakat setempat.