Skip to main content

School of Electrical and Electronic Engineering

XMUT TAWAR PROGRAM PESISIR IJAZAH SARJANA MUDA DAN SARJANA USM DI CHINA

2V4A2524

USM PULAU PINANG, 24 Oktober 2023 – Universiti Sains Malaysia (USM) meneruskan agenda pengantarabangsaan dengan termeterainya persefahaman (MoU) bersama Xiamen University of Technology (XMUT), China sekaligus menawarkan program pesisir Ijazah Sarjana Muda USM dan Sarjana USM bidang Kejuruteraan di sana.

Antara program pesisir USM yang ditawarkan melibatkan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektronik, Kejuruteraan Elektrik dan Kejuruteraan Mekatronik, dan program ijazah Sarjana Kejuruteraan Reka Bentuk Sistem Elektronik dan Mikroelektronik.

Bercakap pada majlis penandatanganan persefahaman kedua-dua pihak, Naib Canselor USM, Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed berkata, kerjasama antarabangsa antara Pusat Pengajian Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (PPKEE USM) dan XMUT, China ini merupakan salah satu daripada beberapa penglibatan kerjasama antara USM dan institusi pengajian tinggi antarabangsa lain yang telah dijalinkan pada tahun ini.

2V4A2496

“Saya bagi pihak USM berbesar hati untuk berkolaborasi bersama XMUT sebagai salah satu rakan kongsi pendidikan tinggi negara ini untuk saling bertukar kepakaran demi pembangunan nilai pelajar dan teknologi penyelidikan kedua-dua institusi, terutamanya dalam sektor elektrik dan elektronik,” kata beliau di majlis Penandatanganan Memorandum Persefahaman (MoU) USM-XMUT yang diadakan di Bilik Persidangan Canselori (CCR), Bangunan Canselori, USM.

Tambah Abdul Rahman, melalui kerjasama antarabangsa ini, kedua-dua pihak dapat menggabungkan sumber berkualiti tinggi dalam pendidikan, penyelidikan saintifik dan industri untuk mewujudkan perkongsian dalam pendidikan dan penglibatan industri-universiti antarabangsa.

“Di bawah kerjasama pendidikan ini juga, kedua-dua pihak akan menyokong mobiliti antarabangsa untuk pelajar dari USM dan XMUT sekaligus akan memberi pendedahan awal kepada pelajar tentang kemahiran antarabangsa dan antara budaya,” jelas Abdul Rahman lagi.

Beliau turut berharap MoU ini juga akan memberi peluang kepada penyelidik akademik dari PPKEE USM untuk melaksanakan penyelidikan kolaboratif berimpak tinggi dan berteknologi tinggi, terutamanya di barisan hadapan kemajuan saintifik, teknologi dan industri.

Selain itu di majlis yang sama, Setiausaha Jawatankuasa XMUT CPC, Xiamen University of Technology, Profesor Dr. Lin Jinchuan berkata, penawaran program-program pesisir USM di XMUT dapat meluaskan lagi nama USM dalam kalangan pelajar di negara China terutamanya pendidikan tinggi, pertukaran bidang Sains, Pendidikan dan lain-lain lagi, antara China dan Malaysia.

2V4A2551

“Kita sedia maklum China telah menjadi rakan perdagangan terbesar Malaysia selama 10 tahun berturut-turut melibatkan industri litar bersepadu, pengkomputeran dan komponen yang merupakan bahagian terbesar perdagangan dan pelaburan.

“Jadi berdasarkan permintaan sumber bakat dan kemahiran yang tinggi dalam perindustrian kedua-dua negara, ia memudahkan kerjasama antara dua buah universiti ini bagi memenuhi permintaan perusahaan dua hala Malaysia dan China, bagi melahirkan lebih ramai jurutera hebat peringkat antarabangsa di masa hadapan,” jelas beliau lagi.

Yang turut hadir adalah Pengarah Kampus Kejuruteraan USM, Prof. Datin Dr. Azlina Harun@Kamaruddin>; Dekan, Pusat Pengajian Kejuruteraan Optoelektronik dan Komunikasi XMUT, Prof. Dr. Zhang Hongyi; Mewakili Dekan Pusat Pengajian Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik USM, Prof. Madya Ir. Dr. Rosmiwati Mohd Mokhtar; Pengarah Pusat Usahasama Kecemerlangan Rekabentuk Mikroelektronik (CEDEC) USM, Prof. Madya Dr. Asrulnizam Abd Manaf; dan Mewakili Dekan Pusat Pengajian Pengurusan USM, Prof. Madya Dr. Abdul Hadi Zulkafli.

Teks: Mohd Azrul Mohd Azhar/Foto: Mohd Fairus Md Isa 
Sumber: USM News Portal