Skip to main content

School of Electrical and Electronic Engineering

Perkongsian Pengalaman oleh Saudari Norhamizah Idros Penerima Anugerah Pingat Emas USM untuk Pelajar Kelainan Upaya (PKU) Terbaik 2016

Terlalu banyak pengalaman yang saya lalui sepanjang berada di USM. Sudah empat tahun berada di sini, sejujurnya saya banyak bergantung harap kepada rakan-rakan terutamanya mereka yang sama jurusan dengan saya (yang saya gelar #foodtime -ada dalam 10 orang).


 Mereka sentiasa menemani ke mana-mana saja yang saya mahu pergi. Untuk pengetahuan semua, kerusi roda elektronik yang saya gunakan tidak boleh terkena air hujan. Oleh itu, saya sangat peka dengan cuaca seharian. Selalu juga saya terpaksa ke kuliah pada waktu hujan. Yang saya sangat terharu adalah walaupun ketika dalam waktu sebegitu, rakan-rakan saya tidak pernah meninggalkan saya. Mereka turut menemani saya ke kuliah dalam keadaan yang basah kuyup untuk memayungi saya dan kerusi roda. Saya masih ingat kata-kata salah seorang daripada mereka, “kami demam takpa, jangan awak demam Miza.” Ya Allah terharunya saya. Hanya Tuhan saja yang mampu membalas jasa mereka selama ini.
Ketika semester kedua pengajian saya (dalam bulan Mei 2013), kerusi roda saya mengalami masalah teknikal dan tidak dapat berfungsi dengan baik. Hanya Allah yang tahu bagaimana perasaan saya ketika itu. Bagaimana saya hendak ke kuliah? Syukur alhamdulillah ketika itu adik saya sedang berada di rumah bercuti selepas tamat SPM. Kerusi roda saya dihantar ke kedai di Rawang untuk dibaiki. Sementara itu, saya ke kuliah dengan menggunakan kerusi roda biasa dibantu oleh rakan-rakan saya. Emak saya, Hajah Sakdiah Awang dengan adik tinggal bersama saya di USM selama dua minggu untuk mengangkat saya naik kerusi roda. Kemudian, rakan saya mengambil saya untuk ke kuliah. Pada saat itu, beratnya saya rasa dugaan untuk saya. Dengan tugasan dan projek yang perlu disiapkan ditambah lagi dengan masalah kerusi roda, lelah untuk meneruskan. Namun, Allah Maha Mengetahui, saya yakin pasti ada hikmah di sebalik setiap kejadian itu.



Pernah sekali, lif di pusat pengajian tidak berfungsi. Ketika itu saya berada di tingkat 1 (1st floor). Saya pula perlu menghadiri kelas lebih kurang satu jam kemudian. Selepas bertanya kepada pihak pengurusan, saya diberitahu bahawa lif itu tidak dapat dibaiki dalam tempoh kurang daripada satu jam tersebut. Saya hanya mampu berserah. Namun, dua orang rakan saya ketika itu menawarkan diri mereka untuk membawa saya turun menggunakan tangga manakala kerusi roda saya diturunkan oleh beberapa orang staf di pusat pengajian. Saya agak berat hati untuk bersetuju kerana saya tahu risikonya agak tinggi membuat demikian. Walau bagaimanapun, akhirnya saya bersetuju. Ianya satu pengalaman yang baharu buat saya kerana boleh dikatakan hampir belasan tahun sudah saya tidak pernah menggunakan tangga. Perasaan terharu masih membelenggu diri ini dengan sikap rakan-rakan dan staf pusat pengajian.
Pada saya, jurusan Kejuruteraan Elektronik ini sendiri adalah merupakan jurusan yang mencabar. Namun, tidak ada yang mustahil selagi kita berusaha bersungguh-sungguh dan fokus untuk berjaya. Saya akui, 2 tahun pertama di USM merupakan saat yang tersangatlah mencabar fizikal dan mental kerana banyak subjek dan projek-projek mini yang perlu dikuasai dan diaplikasi. Perkara biasalah bagi seorang pelajar sekiranya tidak tidur hampir 2 hari dek kerana menyiapkan tugasan-tugasan yang diberikan. Pengalaman seperti inilah yang pada hakikatnya menguatkan lagi mental kita sebagai pelajar. Selain itu, bantuan dan dorongan daripada para pensyarah turut menjadi pemangkin untuk saya meneruskan pelajaran. Mereka sangat memahami keadaan saya dan sentiasa memberikan peluang sama rata kepada saya, seperti pelajar-pelajar lain. Jujur saya katakan, pilihan saya untuk meneruskan pengajian ijazah sarjana muda di USM ini adalah satu tindakan yang sangat wajar yang telah saya ambil pada empat tahun yang lalu.
Di kesempatan ini juga, saya ingin mengucapkan sekalung penghargaan dan jutaan terima kasih kepada semua pensyarah dan staf Pusat Pengajian Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik USM atas bantuan dan kemudahan yang diberikan sepanjang empat tahun saya melanjutkan pengajian dalam bidang Kejuruteraan Elektronik di sini. Hanya Allah SWT yang dapat membalas jasa kalian dalam mendidik dan mengajar saya sehingga saya menamatkan pengajian dengan jayanya. Sekian, terima kasih.