Skip to main content

School of Electrical and Electronic Engineering

Majlis Syarahan Umum Pelantikan Profesor Ir. Dr. Nor Ashidi Mat Isa

Nibong Tebal, 2 Oktober 2019 - Majlis Syarahan Umum Pelantikan Profesor merupakan satu medium bagi seseorang profesor untuk mengetengahkan ilmu serta penemuan untuk disebarluaskan kepada masyarakat umum.

Profesor Ir. Dr. Nor Ashidi Mat Isa merupakan pensyarah serta Timbalan Dekan (Akademik, Kerjaya dan Antarabangsa) di Pusat Pengajian Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (PPKEE). Lebih membanggakan ialah beliau merupakan alumni PPKEE yang cemerlang dan telah bergraduasi pada tahun 1999. 

Majlis gilang gemilang tersebut telah diadakan di Dewan Utama Kampus Kejuruteraan USM. Syarahan beliau yang bertajuk 'Sistem Diagnosis Perubatan Berbantukan Komputer' telah dikongsikan kepada lebih 500 orang tetamu. Selain pelajar dan kakitangan universiti, turut memeriahkan majlis ialah rombongan ahli keluarga beliau yang hadir dari Tikam Batu, Kedah. 

Majlis Syarahan Umum Pelantikan Profesor Ir Dr Nor Ashidi Mat Isa 2019

Majlis Syarahan Umum Pelantikan Profesor Ir Dr Nor Ashidi Mat Isa 2019 02

Majlis Syarahan Umum Pelantikan Profesor Ir Dr Nor Ashidi Mat Isa 2019 03

Pelantikan beliau sebagai profesor adalah berdasarkan pencapaian serta sumbangan beliau terhadap universiti. Kecemerlangan beliau bermula dari bangku sekolah lagi dan menjadi pendorong kepada pelajar dan rakan-rakan. Antara pencapaian dan anugerah yang di terima beliau sepanjang tempoh belajar dan berkhidmat di USM ialah seperti berikut:

Pencapaian Akademik
Tahun 1995 telah menyaksikan kecemerlangan beliau dalam bidang akademik telah menambat hati pihak Institut Fizik Malaysia untuk menobatkan beliau sebagai penerima Anugerah Pelajar Terbaik Fizik, Matrikulasi Malaysia. Empat tahun kemudian, dua anugerah telah menyusul dalam satu tahun yang sama iaitu tahun 1999 dengan Anugerah Pelajaran DiRaja oleh Majlis Raja-raja Malaysia dan USM serta Anugerah Akademi Sains Islam Malaysia (ASASI).

Seterusnya, kecemerlangan beliau dalam bidangh Penyelidikan telah mencuri hati pihak Yayasan Negeri Perak untuk memilih beliau sebagai penerima Anugerah Kecemerlangan Penyelidikan pada tahun 2003.

Sejak dari itu, momentum kecemerlangan dan pengumpulan pelbagai anugerah ini bagaikan tidak dapat dibendungkan lagi. Lima kali berturut-turut beliau menggondol Anugerah Produk Penyelidikan di peringkat Antarabangsa dan 10 kali di peringkat kebangsaan sepanjang tahun 2003 hingga 2016.

Nama Profesor Ir. Dr. Nor Ashidi Mat Isa juga sudah tidak asing lagi dalam sebutan pengacara Majlis Anugerah Sanggar Sanjung dan Hadiah Sanjungan USM. Sejak tahun 2004 hingga 2019, nama beliau pasti menggegarkan dewan sebagai penerima anugerah dalam majlis itu. Sepanjang tempoh 15 tahun itu juga beliau mencipta satu hattrik dengan merangkul 3 Anugerah Perkhidmatan Cemerlang pada tahun 2004, 2013 dan 2016.

Pencapaian Penerbitan
Kecemerlangan beliau dalam penulisan artikel juga amat prolifik. Ratusan artikel berwasit sudah diterbitkannya. Jika anda berkunjung ke pangkalan jurnal di Google Scholar, Scopus dan Web of Science, anda pasti terpegun dengan keaktifan beliau dalam penerbitan. Apa tidaknya, sebanyak 257 journal beliau telah menbanjiri laman Google Scholar, manakala sebanyak 181 artikel terpampang di dada Scopus, serta 153 lagi tersemat di ruangan Web of Science. Tidak hairanlah jika Indeks-H beliau juga menggunung tinggi menjangkau angka 34 di Google Scholar, 27 di Scopus dan 21 di Web of Science.

Pencapaian Sebagai Penyelia - Pelajar Sudah Bergraduasi
Berbondong-bondong penagih ilmu penyelidikan dari seantero dunia telah memilih beliau sebagai Penyelia Utama dan Penyelia Bersama bagi menyeliai pengajian siswazah mereka. Puluhan dari pelajar-pelajar siswazah dibawah seliaan beliau sudahpun mengenggam ijazah PhD atau Sarjana, dimana 20 graduan PhD telah diselianya sendiri, manakala 5 graduan PhD lagi diselianya bersama rakan sejawat. 22 Pelajar Sarjana MSc Mod Penyelidikan telah diselianya sendiri manakala 2 lagi bersama rakan seperjuangan. 17 graduan Sarjana Mod Campuran juga sudah berjaya bergraduasi menerusi penyeliaan Prof Dr Nor Ashidi Mat Isa.

Pencapaian Penyelidikan
Agensi-agensi penaja geran penyelidikan juga amat peka dengan kecemerlangan beliau dalam lapangan penyelidikan. Pada peringkat kebangsaan, sebanyak 8 buah geran penyelidikan sudah diterimanya selaku Penyelidik Utama, manakala sebanyak 11 lagi selaku Penyelidik Bersama. Pada peringkat university pula, beliau diamanahkan untuk mengetuai 7 buah geran penyelidikan dan dalam 10 geran lain beliau dilantik sebagai Penyelidik Bersama. Kecemerlangan beliau menarik minat agensi luar untuk menganugerahkan satu geran untuk diketuainya dan empat lagi geran luar diterimanya sebagai Penyelidik Bersama.

Pencapaian Lain
Sinar kecemerlangan beliau terus berkilau indah dipersada dunia menerusi penyampaian 9 Ucaptama Antarabangsa, 5 Pembentangan Jemputan Antarabangsa, 4 pelantikan sebagai Profesor Kunjungan, 8 pelantikan sebagai Editorial Jurnal Antarabangsa, 2 pelantikan Editorial Kebangsaan serta 6 pelantikan sebagai Penilai Luar Program Pengajian.

Nyata, permata kecemerlangan Profesor Ir. Dr. Nor Ashidi Mat Isa ini terus digilap dengan gigih oleh beliau hingga ke saat ini dan diharapkan terus bergemerlapan pada masa akan datang. 

Majlis Syarahan Umum Pelantikan Profesor Ir Dr Nor Ashidi Mat Isa 2019 04

Majlis Syarahan Umum Pelantikan Profesor Ir Dr Nor Ashidi Mat Isa 2019 05

Majlis Syarahan Umum Pelantikan Profesor Ir Dr Nor Ashidi Mat Isa 2019 06

Teks: Jamaludin Che Amat & Dr. Mohd Nazri Mahmud
Foto: Jamaludin Che Amat & Abdul Latiff Abdul Tawab