SEEE ENGINEERING CAPSTONE DESIGN EXHIBITION 2024, PERPADUAN INOVASI DAN KEPINTARAN UNGGUL PELAJAR KEJURUTERAAN USM
NIBONG TEBAL, 17 Januari 2024 - SEEE Engineering Capstone Design Exhibition 2024 yang dianjurkan di Dewan Serbaguna Kampus Kejuruteraan, Universiti Sains Malaysia (USM) hari ini diharap dapat membudayakan perpaduan antara inovasi dan kepintaran unggul semua pelajar yang terlibat.
Berikut adalah seperti yang disuarakan oleh Pengarah Kampusnya, Profesor Datin Dr. Azlina Harun @ Kamaruddin dalam ucapan perasmian program, yang diadakan sempena acara kemuncak bagi kursus EEE 424, EEK 425 dan EEM 425 bagi program Kejuruteraan Elektronik, Mekatronik dan Elektrikal ini.
“Penganjuran program ini juga diharap dapat melatih pelajar untuk sentiasa peka dengan pelbagai isu semasa, baik di dalam mahu pun di luar kampus,” kata beliau.
“Selain daripada itu, USM turut berperanan penting dalam membentuk tenaga kerja yang dilengkapi dengan pengetahuan yang seiring, dalam memacu kemajuan di era digital ini, khususnya dalam landskap dinamik transformasi digital Malaysia.
“Oleh yang demikian, semua pihak seharusnya mengambil pendekatan yang proaktif untuk menyediakan generasi jurutera masa hadapan dengan set kemahiran dan pengetahuan yang tepat demi sumbangan signifikan kepada evolusi digital Malaysia,” tambah Azlina.
Dalam pada itu, Dekan Pusat Pengajian Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (PPKEE), Profesor Ir. Ts. Dr. Shahrel Azmin Sundi @ Suandi berkata, program kemuncak bagi kursus Rekabentuk Kejuruteraan ini bertujuan untuk memupuk keupayaan pelajar dalam merancang penyelesaian kepada masalah kejuruteraan yang kompleks.
“Program ini bertindak sebagai platform kepada pelajar bagi mempersembahkan prototaip mereka sambil menggalakkan interaksi dengan pihak-pihak berkepentingan.
“Pada masa yang sama, mereka berkesempatan untuk menarik minat wakil dari industri tempatan sambil mempromosikan usahawan teknologi dalam kalangan pelajar dan staf Pusat Pengajian juga,” kata beliau.
“Tidak hanya itu, program ini juga dapat mengalakkan interaksi rapat antara pelajar, komuniti pengguna, dan pihak berkepentingan terhadap penyelesaian yang dicadangkan dalam kumpulan masing-masing,” tambah Shahrel.
Turut hadir dalam program yang melibatkan pelajar tahun tiga dan empat ini adalah Ketua Pegawai Eksekutif Penang Skills Development Centre (PSDC) merangkap Profesor Adjunct PPKEE, Dr. Hari Narayanan P Ondiveeran, Timbalan Dekan (Akademik, Kerjaya dan Antarabangsa) PPKEE, Profesor Madya Ir. Dr. Rosmiwati Mohd Mokhtar dan Timbalan Dekan (Penyelidikan, Inovasi & Libatsama Industri-Komuniti) PPKEE, Profesor Madya Dr. Muhammad Nasiruddin Mahyuddin.
Teks: Siti Faizah Abd Halim / Foto: Sharina Mustapa Albakari