Skip to main content

School of Electrical and Electronic Engineering

Program Jejak Kejuruteraan: Sesi Bicara & Pameran Ilmu Oleh Universiti Sains Malaysia (USM) Bersama Pelajar MRSM Transkrian

NIBONG TEBAL, 11 JULAI 2025 - Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Transkrian, sebuah institusi beraliran teknikal yang menekankan pendidikan berasaskan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), telah menjemput Universiti Sains Malaysia (USM) bagi menjayakan satu sesi khas perkongsian ilmu serta pameran pendidikan. Program ini bertujuan memberikan pendedahan awal kepada pelajar mengenai bidang kejuruteraan serta membina aspirasi mereka untuk melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi.

Seawal jam 8.15 pagi bertempat di Dewan Ibnu Sina, MRSM Transkrian. Sesi ini melibatkan penyertaan warga akademik, staf sokongan, dan pelajar daripada dua pusat pengajian utama di USM Kampus Kejuruteraan: Pusat Pengajian Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (PPKEE) dan Pusat Pengajian Kejuruteraan Aeroangkasa (PPKA), serta turut disertai oleh Pusat Pembangunan Pendidikan Kejuruteraan (CEDEC).

WhatsApp Image 2025 07 14 at 9.20.16 AM 1  WhatsApp Image 2025 07 14 at 9.20.16 AM

Delegasi dari PPKEE, yang telah diketuai oleh Pengerusi Persatuan Promosi USM, Ir. Dr. Mohamad Tarmizi Bin Abu Seman telah disambut mesra oleh pihak pentadbiran MRSM Transkrian.

Program ini dimulakan dengan sesi taklimat ringkas dan pengenalan oleh wakil setiap pusat pengajian. Melalui paparan video, wakil dari PPKEE, Ir. Dr. Mohamad Tarmizi Bin Abu Seman telah mengetengahkan pencapaian pelajar PPKEE dalam pelbagai aktiviti kokurikulum, terutama penyertaan dalam pertandingan kejuruteraan di peringkat kebangsaan seperti Pertandingan Robocon di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) baru-baru ini, di mana pasukan USM telah berjaya meraih tempat ketiga melalui pertandingan ini. Kejayaan ini mencerminkan keupayaan teknikal dan semangat kerjasama dalam kalangan pelajar kejuruteraan USM itu sendiri, sekali gus memberi inspirasi kepada para pelajar MRSM mengenai potensi bidang robotik dan automasi.  

WhatsApp Image 2025 07 14 at 9.20.15 AM 3

Selesai sesi taklimat, sedikit penghargaan juga telah disampaikan oleh pihak MRSM Transkrian kepada setiap wakil daripada ketiga-tiga pusat pengajian melalui Pengetua MRSM Transkrian, Encik Kamarudin bin Sagiman.

Program diteruskan dimana pihak PPKEE telah mengadakan satu sesi pameran interaktif bersama para pelajar dan guru. Antara tarikan utama ialah robot “Jupiter”, yang digunakan dalam latihan pertandingan Robocon, serta kit elektronik asas yang menunjukkan aplikasi sistem litar dan kawalan bagi memahami prinsip kejuruteraan yang diaplikasikan.  Selain itu, pelajar MRSM Transkrian  turut berpeluang melihat secara dekat hasil projek yang telah diketengahkan daripada salah seorang pelajar tahun akhir di Pusat Pengajian Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (PPKEE), iaitu saudara Kar Chun.

WhatsApp Image 2025 07 14 at 9.20.15 AM 1  WhatsApp Image 2025 07 14 at 9.20.15 AM

WhatsApp Image 2025 07 14 at 9.20.16 AM 3  WhatsApp Image 2025 07 14 at 9.20.15 AM 2

Sebagai tanda penghargaan, beberapa cenderahati seperti pen, buku nota dan risalah maklumat telah diedarkan kepada pelajar dan guru yang hadir, khususnya kepada mereka yang berjaya menjawab beberapa soalan kuiz yang disediakan oleh pasukan PPKEE, USM.

Akhir kata, kehadiran delegasi dari Universiti Sains Malaysia (USM) telah memberikan impak yang signifikan kepada pelajar MRSM Transkrian, khususnya dalam memperluas perspektif mereka terhadap bidang kejuruteraan, merangkumi kedua-dua bidang Aeroangkasa dan Kejuruteraan Elektrik. Melalui sesi taklimat, perkongsian pengalaman, serta pameran interaktif, para pelajar berpeluang melihat secara langsung bagaimana teori dalam STEM diaplikasikan dalam konteks dunia sebenar.

Hal ini disokong melalui temu bual ringkas bersama beberapa pelajar MRSM Transkrian, yang menyatakan bahawa mereka berasa lebih bermotivasi untuk mencapai kecemerlangan akademik agar berpeluang melanjutkan pengajian ke institusi terkemuka seperti Universiti Sains Malaysia (USM). Mereka turut menyatakan rasa kagum dan terinspirasi dengan pencapaian mahasiswa USM yang terlibat dalam pertandingan berprestij seperti Robocon, yang bukan sahaja menyerlahkan kemahiran teknikal, malah memperlihatkan nilai kerja berpasukan dan kepimpinan yang tinggi.

Antara maklum balas yang diterima daripada pelajar dan guru:

Bidang kejuruteraan amat menarik untuk diterokai. Saya berhasrat untuk memilih kejuruteraan sebagai laluan kerjaya saya pada masa hadapan.”

Saudara Haikal, Pelajar Tingkatan 5, MRSM Transkrian

Robot yang dipamerkan sangat menarik. Ini merupakan kali pertama saya melihat robot secara langsung.”

Saudari Aisyah, Pelajar Tingkatan 4, MRSM Transkrian

Program sebegini amat penting, khususnya bagi pelajar Tingkatan 5. Pendedahan awal seperti ini membantu mereka membuat keputusan yang lebih jelas dalam memilih hala tuju masa depan.”

Encik Amir, Guru Elektrikal, MRSM Transkrian

Secara keseluruhan, program ini telah berjaya mencetuskan minat, meningkatkan kesedaran, dan membina aspirasi pelajar terhadap bidang kejuruteraan serta pendidikan tinggi. Diharapkan agar program seumpama ini dapat diteruskan, khususnya oleh Pusat Pengajian Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (PPKEE), USM, sebagai usaha berterusan dalam memperkasa generasi pelajar dengan maklumat, motivasi dan hala tuju yang jelas. Usaha ini juga sejajar dengan aspirasi Universiti Sains Malaysia untuk terus menerajui kecemerlangan dalam bidang pendidikan dan kejuruteraan —       KAMI MENERAJUI.