Skip to main content

School of Electrical and Electronic Engineering

PPKEE sertai Karnival Sains Matrikulasi (MASCAR) 2019

Sumber berita : KMPP
http://www.kmpp.matrik.edu.my/index.php/2-uncategorised/839-karnival-sains-matrikulasi-2019-kmpp

Kepala Batas, 27 Julai 2019 - Buat julung kalinya, Kolej Matrikulasi Pulau Pinang telah berjaya menganjurkan Karnival Sains Matrikulasi (MASCAR) peringkat Kebangsaan yang telah melibatkan kolej-kolej Matrikulasi seluruh Malaysia, Kolej Mara, agensi dan kementerian luar, sekolah rendah dan sekolah menengah dari Kedah, Perak dan Pulau Pinang. Pelbagai aktiviti pameran dan pertandingan yang telah diadakan seperti roket air, drone, robotik, inovasi tenaga biojisim, kipas angin eko,  pembedahan Dr Wannabe, pameran planetarium, mini Zoo, mini Jurassic Park The Top dan sebagainya bagi menarik pengunjung dan pelawat ke karnival ini.

Pengarah Bahagian Matrikulasi, Kementerian Pendidikan Malaysia, Pn. Hjh. Rosnarizah Abdul Halim, diiringi oleh Pengarah-pengarah dan Timbalan Pengarah Kolej-kolej Matrikulasi, serta Pegawai-pegawai dari Bahagian Matrikulasi turut hadir bagi memberikan sokongan kepada program ini. Semua Tetamu Kehormat ini telah dibawa melawat ke tapak-tapak pameran seperti kelab Alchemy, roket air, agensi luar, inovasi KIK dan biojisim. Acara kemuncak adalah Majlis Perasmian Penutupan MASCAR 2019 yang telah disempurnakan oleh Pengarah Bahagian Matrikulasi,  Pn. Hjh. Rosnarizah Abdul Halim. 


Kampus Kejuruteraan USM Sertai Pameran MASCAR 2019

Pusat Pengajian Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (PPKEE) turut menyertai karnival ini bagi mempromosikan pusat pengajian kepada pelajar. Matlamat utama ialah menyampaikan maklumat dan gambaran yang jelas berkaitan program yang ditawarkan serta prospek kerjaya kepada pelajar. Ini bagi memudahkan pelajar mengenal pasti minat serta bidang yang akan diceburi kelak.

Selain PPKEE, pusat pengajian lain dari Kampus Kejuruteraan USM iaitu PPK Mekanik, PPK Aeroangkasa, PPK Awam, PPK Kimia dan PPK Bahan dan Sumber Mineral juga turut serta. Antara aktiviti yang disediakan ialah pameran serta demonstrasi produk dan penyelidikan yang dihasilkan oleh pensyarah dan pelajar.

Karnival Sains Matrikulasi MASCAR 2019 01

Baca selanjutnya: PPKEE sertai Karnival Sains Matrikulasi (MASCAR) 2019

Mesyuarat Bersama Panel Penasihat Industri (IAP)

Seberang Perai, 24 Julai 2019 - Pusat Pengajian Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (PPKEE), Kampus Kejuruteraan USM telah mengadakan mesyuarat Panel Penasihat Industri (IAP) yang berlangsung di The Light Hotel.

Mesyuarat ini bertujuan untuk membincangkan serta mendapat maklum balas dari pihak industri berkaitan program yang yang ditawarkan di PPKEE. Ia bagi memastikan pengetahuan, kemahiran dan kecekapan yang diperolehi oleh pelajar bagi ketiga-tiga program iaitu Program Elektronik, Elektrik dan Mekatronik selari dengan kehendak industri semasa. 

Mesyuarat ini telah di pengerusikan sendiri oleh Profesor Ir. Dr. Mohd Fadzil Ain, Dekan PPKEE. Turut serta ialah pengurusan tertinggi PPKEE dan wakil industri.

Mesyuarat Bersama Panel Penasihat Industri IAP 2019 01

 

Mesyuarat Bersama Panel Penasihat Industri IAP 2019 02

Teks: En. Jamaludin Che Amat
Foto: En. Abdul Latiff Abdul Tawab

Bengkel Strategik KPI 2019

Lumut, 14 Julai 2019 - Pusat Pengajian Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (PPKEE) telah mengadakan Bengkel Strategik KPI 2019. Bengkel ini merupakan kesinambungan dari siri bengkel yang pernah diadakan sebelum ini bagi menjayakan perancangan pusat pengajian. 

Antara fokus perbincangan ialah penerbitan, geran (pasca-siswazah), jaringan dan jangkauan, inovasi, penjanaan pendapatan serta sokongan pentadbiran dan teknikal. Pelbagai strategi telah di rangka bagi meneruskan misi dan visi pusat pengajian untuk mencapai prestasi yang lebih tinggi di atas nama USM.

Program kali ini di lihat lebih segar kerana disulami dengan aktiviti berkeluarga yang diaturkan oleh Persatuan Staf PPKEE. Antara aktiviti tersebut ialah jamuan makan malam, sambutan kelahiran, penghargaan staf dan sukaneka pantai. Perkara ini selari dengan matlamat USM yang sering disuarakan oleh Profesor Datuk Dr. Asma Ismail (Naib Canselor USM) iaitu Indeks Keceriaan yang tinggi di kalangan staf untuk sama-sama menyayangi USM dengan menonjolkan semangat kekeluargaan.

Bengkel Strategik KPI PPKEE 2019

Baca selanjutnya: Bengkel Strategik KPI 2019

Pelajar USM PPKEE antara yang terpilih menyertai Program 'MOE-Intel Elite Internship'

Sumber berita : BERNAMA
http://www.bernama.com/bm/news.php?id=1735234

Putrajaya, 14 Jun 2019 - Seramai 100 pelajar dari enam universiti awam terpilih untuk menjalani latihan selama dua bulan menerusi program ‘MOE-Intel Elite Internship’ yang akan memberi pendedahan kepada mereka mengenai perisian reka bentuk cip yang mengikuti standard industri.

Program yang akan bermula 24 Jun ini melibatkan pelajar dari Universiti Teknologi Mara, Universiti Malaysia Perlis, Universiti Sains Malaysia, Universiti Teknologi Malaysia, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia dan Universiti Putra Malaysia.

MOE Intel Elite Internship 01

Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik ketika melancarkan program itu di sini hari ini berkata program itu diadakan pada masa yang tepat kerana keperluan untuk jurutera elektronik sangat penting untuk selari dengan Revolusi Industri 4.0, yang menekankan automasi elektronik.

“Saya ingin menggesa semua pelajar untuk merebut peluang keemasan ini dan menguasai pemindahan pengetahuan dalam industri. Inilah masanya untuk pelajar meningkatkan kemahiran menyelesaikan masalah mereka,” katanya.

Program itu juga menyediakan latihan kepada 12 pensyarah dari enam universiti terlibat menerusi program lawatan anggota fakulti untuk melengkapkan mereka dengan pengetahuan industri mengenai reka bentuk silikon, katanya.

MOE Intel Elite Internship 02

Menurut Maszlee, program itu adalah sebahagian daripada inisiatif baharu oleh Jabatan Pendidikan Tinggi dikenali sebagai ‘Academia Industry Expert Exchange Program’ bertujuan berkongsi kepakaran dua hala dan untuk mempromosikan pemahaman yang lebih mendalam terhadap keperluan dan jangkaan akademik dan industri.

“Dengan program seperti ini, graduan daripada bidang elektronik atau mikroelektronik boleh diserap terus ke dalam industri,” katanya.

Foto: Dr. Azniza Abd Aziz

Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) antara USM dan National Instruments

Nibong Tebal, 23 April 2019 - Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian antara Universiti Sains Malaysia USM) dan National Instruments (NI) telah berlangsung di Pusat Pengajian Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (PPKEE), Kampus Kejuruteraan USM. Memorandum ini ditandatangani oleh Profesor Datuk Dr. Asma Ismail, Naib Canselor, USM dan Mr Rajesh Purushothaman, Naib Presiden, APEC Manufacturing NI Malaysia Sdn Bhd. Turut sama menandatangani memorandum tersebut ialah Profesor Ir. Dr. Mohd Fadzil Ain, Dekan, PPKEE, USM dan Puan Azian Wahab, Pengurus R&D Kanan, NI.

MoA USM NI 01 V2

MoA ini merupakan kerjasama dan kolaborasi di antara USM dan NI untuk membangunkan sebuah makmal yang di beri nama "NI Embedded System Laboratory", bertempat di PPKEE, Kampus Kejuruteraan, USM. Pihak NI telah menyumbangkan 10 unit komputer, 25 unit NI myRIO System Platform dan 3 unit NI ELVIS.  

Makmal tersebut akan digunakan bagi tujuan pengajaran, pembelajaran, penyelidikan serta latihan kepada pelajar, pensyarah dan pegawai penyelidik di PPKEE. Ia juga akan menjadi pusat penyediaan latihan teknikal serta kursus pendek di dalam dan di luar USM.

Pembukaan makmal industri ini pastinya akan memberi manfaat yang besar terhadap penerokaan di dalam bidang "embedded system". Ianya sangat diperlukan terhadap aplikasi berteknologi tinggi pada masa kini dan dalam masa yang sama dapat melahirkan lebih ramai graduan yang dapat memenuhi keperluan pihak industri. 

Baca selanjutnya: Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) antara USM dan National Instruments